Konotasi Melayu

Photobucket

Wednesday, May 20, 2009

Selamat Hari Guru , Cikgu!

Guru oh Guru

Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi.

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetlaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di lbu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakill seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Usman Awang
1979

Tuesday, May 5, 2009

Perjumpaan 04-05-09

Aktiviti Persatuan Bahasa Melayu

Renyai-renyai hujan mengiringi perjumpaan persatuan kami. Namun, dengan semangat waja dan sokongan yang jitu, Ahli persatuan tetap hadir dan perjumpaan dapat dijalankan seperti biasa.. Alhamdulillah..



Aktiviti pada kali ini ialah

" Mencari perkataan bombastik "



Objektif

Membuka minda ahli dan menambah perbendaharaan kata baru kepada setiap ahli.


Dapatan


Kulawangsa Intiha

Ruwet Usai

Marcapada Delegasi

Kolaborasi Imperialisme

Futuristik Artistik
Banyak lagi sebenarnya perkataan yang dapat diterbitkan oleh ahli kami. Namun, tahu sahaja tidak mencukupi.. Lebih baik impak yang sedikit itu dapat diadaptasi dengan maksima daripada impak yang maksima hanya diamalkan ala kadar sahaja.
Harapan kami, agar ilmu yang diperoleh dapat digunakan dalam pembelajaran, penulisan , komunikasi mahupun bila-bila sahaja kerana ilmu itu akan hilang jika tidak diamalkan.

" Ilmu tanpa amal ibarat pohon yang tidak berbuah "



Friday, May 1, 2009

Membaca gaya wawasan

Ilmu itu di mana-mana,
Tidak dicari, tidak ketemu lah ia.
"Bacalah(Wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk).
Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku.
Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah.
Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan.
Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya."

Tuesday, April 28, 2009

Ada apa dengan KONOTASI Melayu ?

Oh KONOTASI, ada apa denganmu?

Rakan Pengunjung sekalian,


KONOTASI, jika disemak menerusi Kamus Dewan bermaksud, satu pengertian. Oleh itu, jika digandingkan dengan Melayu, Ia memberi makna satu pengertian kepada bahasa Melayu.

Ada apa dengan KONOTASI Melayu ya??

Konotasi Melayu merupakan blOg khas bagi Persatuan Bahasa Melayu SMKA Naim Lilbanat. Pelbagai kandungan akan dimuatkan, dari semasa ke semasa, InsyaAllah. Bermula dari Aktiviti kami, dan Perkongsian Ilmu kepada anda semua..

Akhirulkalam,

kami aka cuba memberi yang terbaik buat anda dan ingatlah,
" Takkan MELAYU hilang di dunia! "

Assalamualaikum..

Friday, April 24, 2009

ASAL USUL BAHASA MELAYU




Asal usul perkataan Melayu masih belum dapat disahkan oleh sejarawan.

Bagaimanapun terdapat beberapa bukti sejarah yang cuba mengaitkan asal-usul bahasa Melayu, seperti mana berikut:

1. Catatan orang China yang menyatakan bahawa sebuah kerajaan Mo-lo-yeu mempersembahkan hasil bumi kepada raja China sekitar 644-645 Masihi.

Dikatakan orang Mo-lo-yeu mengirimkan Utusan ke negara China untuk mempersembahkan hasil-hasil bumi kepada raja China.

2. Ada yang mempercayai kerajaan Mo-lo-yeu berpusat di daerah Jambi, Sumatera , daripada sebatang sungai yang deras alirannya, iitu Sungai Melayu.

3. Satu lagi catatan orang China ialah catatan rahib Buddha bernama I-Tsing yang menggunakan kata ma-lo-yu tentang dua buah kerajaan yang dilawatinya sekitar 675 Masihi.

4. Dalam bahasa Jawa Kuno, perkataan ``Mlayu'' bermaksud berlari atau mengembara. Hal ini boleh dipadankan dengan orang Indo-Melayu (Austonesia) yang bergerak dari Yunan.

Perkembangan Bahasa Melayu

Ahli bahasa membahagikan perkembangan bahasa Melayu kepada tiga tahap utama iaitu:

* Bahasa Melayu Kuno,
* Bahasa Melayu Klasik dan
* Bahasa Melayu Moden.

Bahasa Melayu Kuno

Merupakan keluarga bahasa Nusantara
Kegemilangannya dari abad ke-7 hingga abad ke-13 pada zaman kerajaan Sriwijaya, sebagai lingua franca dan bahasa pentadbiran.

Penuturnya di Semenanjung, Kepulauan Riau dan Sumatera.
Ia menjadi lingua franca dan sebagai bahasa pentadbiran kerana:

* Bersifat sederhana dan mudah menerima pengaruh luar.
* Tidak terikat kepada perbezaan susun lapis masyarakat
* Mempunyai sistem yang lebih mudah berbanding dengan bahasa Jawa.

Banyak dipengaruhi oleh sistem bahasa Sanskrit. Bahasa Sanskrit kemudian dikenal pasti menyumbang kepada pengkayaan kosa kata dan ciri-ciri keilmuaan (kesarjanaan) Bahasa Melayu.
Bahasa Melayu mudah dipengaruhi Sanskrit kerana:

* Pengaruh agama Hindu
* Bahasa Sanskrit terletak dalam kelas bangsawan, dan dikatakan mempunyai hierarki yang tinggi.
* Sifat bahasa Melayu yang mudah dilentur mengikut keadaan dan keperluan.

Ciri-ciri bahasa Melayu kuno:

* Penuh dengan kata-kata pinjaman Sanskrit
* Susunan ayat bersifat Melayu
* Bunyi b ialah w dalam Melayu kuno (Contoh: bulan - wulan)
* bunyi e pepet tidak wujud (Contoh dengan - dngan atau dangan)
* Awalan ber- ialah mar- dalam Melayu kuno (contoh: berlepas-marlapas)
* Awalan di- ialah ni- dalam bahasa Melayu kuno (Contoh: diperbuat - niparwuat)
* Ada bunyi konsonan yang diaspirasikan seperti bh, th, ph, dh, kh, h (Contoh: sukhatshitta)
* Huruf h hilang dalam bahasa moden (Contoh: semua-samuha, saya: sahaya)


Peralihan Bahasa Melayu Kuno Ke Bahasa Melayu Klasik

Peralihan ini dikaitkan dengan pengaruh agama Islam yang semakin mantap di Asia Tenggara pada abad ke-13.

Selepas itu, bahasa Melayu mengalami banyak perubahan dari segi kosa kata, struktur ayat dan tulisan.

Bahasa Melayu Klasik

Kegemilangannya boleh dibahagikan kepada tiga zaman penting:

* Zaman kerajaan Melaka
* Zaman kerajaab Acheh
* Zaman kerajaan Johor-Riau

Antara tokoh-tokoh penulis yang penting ialah Hamzah Fansuri, Syamsuddin al-Sumaterani, Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf al-Singkel.

Ciri-ciri bahasa klasik:

* ayat: panjang, berulang, berbelit-belit.
* banyak ayat pasif
* menggunakan bahasa istana
* kosa kata klasik: ratna mutu manikam, edan kesmaran (mabuk asmara), sahaya, masyghul (bersedih)
* banyak menggunakan perdu perkataan (kata pangkal ayat): sebermula, alkisah, hatta, adapun.
* ayat songsang
* banyak menggunakan partikel ``pun'' dan `'lah''



Bahasa Melayu Moden

Bermula pada abad ke-19. Hasil karangan Munsyi Abdullah dianggap sebagai permulaan zaman bahasa Melayu moden.

Sebelum penjajahan Beritish, bahasa Melayu mencapai kedudukan yang tinggi, berfungsi sebagai bahasa perantaraan, pentadbiran, kesusasteraan, dan bahasa pengantar di pusat pendidikan Islam.

Selepas Perang Dunia Kedua, British merubah dasar menjadikan bahasa Inggeris sebagai pengantar dalam sistem pendidikan.

Semasa Malaysia mencapai kemerdekaan, Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Laporan Razak 1956 mencadangkan bahasa Melayu sebagai pengantar dalam sistem pendidikan negara.